Lokasi kejadian tempat Nur Amyliana Shuhada ditemui mati manakala gambar kecil Nur Amyliana Shuhada. - Foto Asyraf Hamzah |
Klang: Budak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai
dirogol, ditemui mati di kawasan tempat letak kereta di Lorong Batu Nilam,
Bukit Tinggi di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad
Mat Yusop, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh orang
awam di kawasan berkenaan jam 10.30 malam kelmarin.
Polis mengenal pasti mangsa sebagai Nur Amyliana Shuhada
Mohd Noor dan ketika ditemui, mayatnya lengkap berseluar trek dan berbaju
kemeja-T.
24 jam meninggal
Siasatan awal mendapati mangsa ditemui 200 meter dari rumahnya,
meninggal dunia kurang 24 jam ketika mayatnya ditemui. Tiada kecederaan lain
pada badannya kecuali di kemaluan, katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohamad berkata, polis sudah menahan dua lelaki dari Sabah
yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematian mangsa bagi membantu siasatan.
Penganggur berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan jam 6 pagi
semalam dan mereka direman selama tujuh hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh, katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Acha Kusain, 42, berkata Nur
Amyliana Shuhada yang mesra dipanggil Cina oleh keluarga, adalah anak ketiga
daripada tujuh beradik dan sangat peramah.
Keluar bermain
Kelmarin, Nur Amyliana Shuhada keluar bermain tetapi tidak
dapat masuk ke rumah kerana kunci dibawa kakak sulungnya. Kali terakhir kami
melihatnya kira-kira jam 12 tengah hari.
Kami baru berpindah ke sini dari Kuantan, Pahang dua bulan
lalu kerana mengikut suami saya yang bertukar tempat kerja.
Arwah pernah menasihati saya supaya tidak sedih kerana dia
akan pergi dulu. Tidak disangka, ia menjadi kenyataan, katanya ditemui di rumah
mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Sumber : Berita harian
0 comments:
Post a Comment