Home » » SEJARAH KEDATANGAN MASYARAKAT CINA KE SARAWAK

SEJARAH KEDATANGAN MASYARAKAT CINA KE SARAWAK



Sarawak, sesungguh negeri yang bertuah kerana dilimpahi dengan sejarah dan kepelbagaian budaya melalui kepelbagaian kaum yang menjadi pegangan kepada sosio budaya masyarakat Sarawak beratus tahun lamanya. Di Sarawak setiap kaumnya mempunyai sejarah yang tersendiri dan ini tidak terkecuali dengan masyarakat Cina Sarawak.

Di negeri Sarawak kedatangan masyarakat Cina bermula pada suku kedua abad ke-19 iaitu setelah wujudnya pemerintahan Rajah James Brooke pada tahun 1841. Rajah James Brooke yang telah berusaha mengekalkan keamanan Sarawak dengan memerangi kegiatan lanun serta pemberontakan tempatan di sekitar perairan Sarawak. Kejayaannya telah menyebabkan berkembangnya aktiviti pemiagaan saudagar Inggeris dan Cina di Singapura dan Sarawak. Keamanan yang wujud di Sarawak telah menarik minat masyarakat Cina untuk datang ke Sarawak. Pada peringkat awal masyarakat Cina yang berhijrah bukanlah berasal dari negeri China tetapi terdiri daripada pelombong masyarakat Cina berketurunan Hakka yang datang dari kawasan Sambas, Pontianak. Mereka telah melombong emas di kawasan tersebut sejak tahun 1760-an lagi.

Apabila Belanda meluaskan kekuasaan di Pontianak pada tahun 1820-an, masyarakat Cina di Pontianak telah tertekan dengan bentuk pemerintahan Kerajaan Belanda. Apabila longgokan emas di Pontianak mulai berkurangan maka ramailah yang berpindah ke Bau, Sarawak dalam tahun 1841. Apabila bandar Kuching dibuka pada tahun 1836 oleh Pangeran Mahkota, banyak peniaga Hokkien mulai menetap di situ bersama-sama orang Melayu dan Bidayuh. Masyarakat Cina sememangnya sejak azali lagi terkenal sebagai pelopor kepada perdagangan di seluruh dunia sudah tentu menganggap sumber ekonomi di Sarawak wajar untuk sama-sama diterokai. Selain melombong emas di Bau dan Marup, tanaman gambir dan lada untuk tujuan eksport juga menjadi daya penarik kepada kedatangan mereka ke Sarawak. Sehingga tahun 1857 adalah dianggarkan terdapat sebanyak 4,000 masyarakat Cina di bahagian barat Negara Sarawak. Perusahaan tanaman lada hitam secara meluas hanya bermula pada tahun 1876 apabila Raja Brooke menawarkan pelayaran percuma kepada penanam lada dari Singapura dan memperuntukkan tanah bagi ladang lada hitam kepada saudagar Cina. Selain masyarakat Cina berketurunan Hakka, pada tahun 1900 ramai masyarakat Cina berketurunan Foochow berpindah ke Sarawak untuk menanam lada di Sibu, Sarikei-Binatang (sekarang Bintangor) dan Serian. Tanaman getah mula diperkenalkan di Sarawak pada tahun 1881. Hasilnya menjadi eksport penting Sarawak mulai tahun 1906 apabila harga getah melambung naik.

Rajah James Brooke telah mengambil pendekatan yang baik untuk memastikan getah menjadi komoditi utama bagi negara Sarawak pada ketika itu. Getah dimajukan dengan cara menggalakkan pekebun kecil bumiputera dan masyarakat Cina Foochow menanam tanaman ini. Disinilah bermulanya penanaman getah secara besar-besaran. Dan kemasukan masyarakat Cina semakin ramai selepas itu. Perangkaan tentang bilangan imigran yang meningkat di Sarawak adalah jelas, pada tahun 1908 dianggarkan terdapat 45,000 orang di Negara Sarawak. Walau bagaimanapun pada tahun 1960 jumlahnya menjadi 229,154 orang atau 32 peratus dari jumlah penduduk Sarawak. Pertambahan pesat berlaku di antara tahun 1939 hingga 1960. Dengan itu adalah jelas faktor ekonomi menjadi pendorong kedatangan masyarakat Cina. Malahan dasar keluarga Brooke yang memberikan pelbagai kemudahan seperti pemilikan tanah, bantuan kewangan, dan tambang pelayaran telah memesatkan lagi kedatangan mereka. Raja Brooke kedua pula secara peribadi menggalakkan masyarakat Cina berketurunan Foochow datang ke Sarawak.

Biar apapun sejarah masyarakat Cina Sarawak namun setelah berabad kita rakyat Sarawak hidup bersama, masyarakat Cina Sarawak adalah rakyat Sarawak yang bersama-sama membangunkan Sarawak menjadi negeri yang unik dan unggul di dalam Malaysia. Kebudayaan dan warisan masyarakat Cina Sarawak tetap kita akan pelihara. Toleransi kaum dan toleransi agama di Sarawak telah lama wujud dan jangan kita sebagai rakyat Sarawak mudah melatah dan leka serta membenarkan kesatuan yang kita ada selama ini terlerai dek kerana fahaman politik dan agama yang sempit. Marilah bersama-sama kita tentang sebarang bentuk propaganda yang berbaur perkauman.

Borneo Oracle ♥ Sarawak’s Multi-races 

0 comments:

Post a Comment

Kawan Punya Blog

Popular Posts

crazylove69. Powered by Blogger.