Home » » DiGi sedia RM750j lancar khidmat 4G

DiGi sedia RM750j lancar khidmat 4G



Kuala Lumpur: DiGi Telecommunications Sdn Bhd, yang bakal melancarkan perkhidmatan 4G bulan depan, memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM750 juta tahun ini yang mana sebahagian besar dilaburkan bagi memodenkan lagi rangkaiannya. 

Ketua Eksekutifnya, Henrik Clausen, berkata ia sebahagian daripada program transformasi perniagaan yang dilaksanakannya termasuk pengembangan liputan rangkaian serta menaik taraf rangkaiannya kepada 4G. 



Katanya, ia antara lain dapat mengukuhkan rangkaian dan pengedaran DiGi serta meningkatkan keupayaan syarikat itu dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dengan lebih menyeluruh. 

Sebahagian besar atau 80 peratus daripada peruntukan capex ini akan digunakan untuk tujuan pemodenan rangkaian dalam usaha meningkatkan perniagaan mudah alih kami. 

Setakat ini, DiGi menguasai 28 peratus pasaran telekomunikasi mudah alih di negara ini dengan jumlah pelanggan kami mencecah 10.5 juta orang, katanya kepada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam. 

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak pernah menganggap yang mereka ketinggalan dalam melancarkan perkhidmatan 4G kerana ia adalah antara rancangan jangka panjang yang memerlukan kesediaan sepenuhnya termasuk aspek infrastruktur. 
Kami tidak pernah merasakan terlewat untuk melancarkan perkhidmatan 4G ini walaupun pesaing kami, iaitu Maxis dan Celcom sudah melancarkannya lebih awal kerana kami melihat ini sebagai pelaksanaan untuk tempoh 10 tahun. 

Kami juga berpendapat masa terbaik bagi pelancarannya adalah akhir suku kedua ini yang mana kami boleh menggunakan jalur spektrum 2600 mega hertz (MHz) yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memulakan perkhidmatan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE) 4G, katanya. 

Dalam pada itu, katanya setakat tahun lalu, syarikat itu telah menukar lebih 3,200 kawasan liputan atau kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan rangkaiannya kepada spektrum 4G.

SUMBER : Berita harian

0 comments:

Post a Comment

Kawan Punya Blog

Popular Posts

crazylove69. Powered by Blogger.