Home » » (UPDATE) Kenyataan Penuh Air Asia Berhubung Kes Penumpang AK1455

(UPDATE) Kenyataan Penuh Air Asia Berhubung Kes Penumpang AK1455


SEPANG – Kami merujuk kepada isu yang dibangkitkan dalam media sosial baru-baru ini, mengenai para tetamu kami yang tidak dibenarkan menaiki pesawat untuk penerbangan AK1455 dari Ho Chi Minh City ke Kuala Lumpur pada 18 Mei 2013.
Kami ingin menjelaskan bahawa mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana salah seorang daripada mereka, iaitu seorang bayi, telah didapati dijangkiti dengan virus cacar air.
Ini telah disahkan oleh doktor yang bertugas di lapangan terbang, yang juga mengisytiharkan bahawa bayi tersebut tidak berada di tahap kesihatan yang dibenarkan untuk menaiki penerbangan (salinan laporan perubatan disertakan).

Dalam kes ini, laporan perubatan menunjukkan bahawa kanak-kanak itu telah dibawa untuk perjalanan hanya 3 hari selepas simptom pertama muncul dan didapati menghidapi demam, mata berair, hidung berair dan ruam pada kebanyakan bahagian badan.
Berdasarkan penemuan ini, doktor mengisytiharkan bahawa kanak-kanak itu tidak berada di tahap kesihatan yang sesuai untuk terbang.
Pendapat perubatan daripada seorang tetamu yang mendakwa dirinya seorang doktor, yang mengatakan bayi tersebut berada dalam keadaan kesihatan yang sesuai untuk terbang, tidak boleh diterima.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, “Pada hari tersebut, wakil kami telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada kedua ibu dan anak tersebut, dan kami telah membuat persediaan untuk menerbangkan mereka kembali ke tanahair serta 2 orang dewasa yang menemani mereka secara percuma, sebaik sahaja anak kecil itu didapati sihat sepenuhnya oleh pakar perubatan.
” Kami juga ada menawarkan untuk menguruskan penginapan hotel dan pengangkutan, namun mereka mengesahkan bahawa sudah mempunyai apa yang perlu untuk berada di Ho Chi Minh City”
“AirAsia mematuhi peraturan dan piawaian kesihatan global, di mana tetamu yang menghidapi cacar air hanya dibenarkan terbang 5 hari selepas simptom pertama (ruam) muncul dan harus memiliki sijil perubatan yang sah atau surat doktor untuk mengesahkan bahawa tetamu layak untuk melakukan perjalanan.
” Ini untuk mengelakkan risiko terhadap 175 tetamu lain dalam penerbangan,” tambah Aireen.
Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk mengurangkan risiko jangkitan, penumpang yang tidak sihat – terutamanya jika mereka menghidapi demam – seharusnya menunda perjalanan mereka sehingga mereka telah pulih sepenuhnya.
Penumpang dengan penyakit berjangkit yang aktif disarankan agar tidak melakukan perjalanan udara.
AirAsia mempunyai tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua para tetamu kami, dan kami berhak untuk menafikan penumpang yang mengidap penyakit berjangkit atau kronik daripada menaiki penerbangan.
Tetamu yang menghidapi atau disyaki mempunyai penyakit berjangkit seperti cacar air, rubella, campak atau beguk boleh merujuk kepada laman web AirAsia di www.airasia.com untuk mengetahui sama ada mereka layak untuk menaiki penerbangan atau sebaliknya.

0 comments:

Post a Comment

Kawan Punya Blog

Popular Posts

crazylove69. Powered by Blogger.