MADRID - Polis Sepanyol semalam mengumumkan kejayaan penangkapan seorang penjenayah dari Britain yang bersembunyi selepas dia menyerang dan melepaskan diri daripada kawalan beberapa pengawal keselamatan semasa perbicaraan kes rompakan bersenjata berlangsung pada tahun 2009.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol dalam satu kenyataan berkata, penjenayah itu, Andrew Terence Moran, 31, diberkas pada Jumaat lalu dalam satu serbuan di sebuah resort mewah dekat pantai Alicante.
Menurut Agensi Jenayah Berat Terancang Britain (SOCA), pihak berkuasa menangkapnya semasa dia bersantai di tepi kolam renang.
Pihak polis turut merampas dua laras senjata api, 60 butir peluru dan sebilah parang.
"Moran berfikir dia boleh mengelak ditangkap apabila melarikan diri ke Sepanyol, kerap menukar penampilan dan menggunakan identiti palsu," kata Ketua Penyiasat SOCA, Matt Burton.
Moran pernah dibicarakan berhubung dakwaan terlibat dalam rompakan bersenjata dan pihak berkuasa menyifatkannya sebagai berbahaya.
Dia dan rakan subahatnya, Stephen Devalda, 29, dituduh merompak sebanyak AS$38,400 (RM114,632) dari sebuah van surat di Colne, barat laut England dengan menggunakan sepucuk pistol, parang dan pemukul besbol.
Seorang pengawal keselamatan cedera dalam rompakan pada Mei 2005.
Semasa dia melarikan diri daripada tahanan pada tahun 2009, Moran menyerang empat pengawal keselamatan dan melompat keluar dari kandang perbicaraan. - AP
Artikel Penuh:
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment